PRIHATIN SEPANJANG RAMADAN

ANDA MEMBERI KAMI MENYAMPAIKAN
Yayasan Prihatin Insan sentiasa berusaha menjadi "trusted agent" yang menjadi perantara keprihatinan golongan dermawan dengan kumpulan sasaran yang memerlukan melalui pelbagai aktiviti yang disusun secara strategik dan terperinci.
Antara kumpulan sasaran YPI adalah golongan kurang upaya (OKU), anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan asnaf.
KHIDMAT PRIHATIN SEPANJANG RAMADAN
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling dermawan. Kedermawanan Baginda lebih dahsyat lagi di bulan Ramadhan.
Ibnu Abbas radhiallahu’anhu menceritakan;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيُدارسه القرآن ، فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجودُ بالخير من الريح المرسَلة
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari, no.6)
1. IHYA RAMADAN - TAJAAN JUADAH BERBUKA
Saban tahun YPI akan menyampaikan sumbangan tidak kurang daripada RM25,000 melalui aktiviti-aktiviti Ihya Ramadan. Antara program yang disusun termasuklah menaja juadah berbuka, bubur lambuk dan juadah sahur kepada orang ramai dan mereka yang memerlukan. Pada tahun ini, YPI telah menyusun beberapa aktiviti sumbangan bubur lambuk dan juadah berbuka bersama dengan petugas barisan hadapan seperti pengawal keselamatan dan pembantu pembersihan di Hospital, pejabat-pejabat kerajaan serta flat-flat perumahan fakir miskin (PPR).
2. IHYA RAMADAN - TAJAAN BEG KONGSI REZEKI
Sehingga kini, lebih RM120,000 jumlah nilaian Beg Kongsi Rezeki telah diagihkan sejak ia mula diperkenalkan melalui program Jom Kongsi Rezeki pada bulan Ogos 2018. Dalam keadaan krisis ekomoni yang disebabkan oleh COVID19, YPI juga menerima ribuan permohonan sumbangan daripada mereka yang memerlukan bantuan makanan. Setiap permohonan diteliti dan bantuan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja. Sepanjang bulan Ramadan ini, YPI menyasarkan sumbangan Beg Kongsi Rezeki diberikan kepada 500 keluarga dengan nilaian RM100 bagi setiap beg melalui program ziarah ke rumah-rumah asnaf.
3. IHYA RAMADAN - TAJAAN PAKAIAN RAYA KANAK-KANAK OKU/MEMERLUKAN
Perayaan tahun ini pasti menjadi penantian buat kita semua. Apatah lagi kanak-kanak daripada keluarga yang tidak berkemampuan. YPI berhasrat untuk menggembirakan 30 orang kanak-kanak ini dengan pakaian Aidilfitri. Bajet yang diperlukan adalah sebanyak RM250 untuk setiap orang.
4. BAUCER PENGANGKUTAN OKU ASNAF
Baucer diberikan untuk pengguna Van Mobiliti Prihatin OKU berkategori asnaf. Van Mobiliti adalah perkhidmatan pengangkutan lengkap dengan sistem hidraulik yang dapat membantu golongan berkerusi roda untuk bergerak ke lokasi tujuan tanpa perlu mengangkat pengguna dengan kudrat pengiring. Selain meringankan beban pengiring, pengguna merasa lebih selamat dan mampu bergerak dengan lebih mudah dan berdikari.
Kemudahan pengangkutan ini telah mula beroperasi sejak Ogos 2019. Pihak Agrobank telah menaja 50 orang pengguna sebagai permulaan. Semua penerima baucer layak menggunakan kemudahan yang disediakan untuk ke mana-mana destinasi termasuk klinik, hospital, agensi kerajaan dan sebagainya.
Bagaimanapun, keperluan golongan OKU berkategori asnaf ini masih mendesak keprihatinan kita bersama. Sedikit sumbangan untuk menaja tambang mereka untuk menjalani rawatan dan meneruskan kehidupan dengan lebih selesa begitu dihargai.
5. PUSAT JAGAAN OKU (RUMAH HARAPAN NUR AAFIYAH)
Sesuai dengan namanya "Aafiyah", rumah ini dibina sebagai rumah latihan berkonsepkan bimbingan rakan senasib untuk OKU fizikal yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Ia diasaskan bersama dengan pasangan OKU, Mohd Nazri dan Azlina Zakaria yang kedua-duanya juga adalah penderita kecederaan saraf tunjang. Terletak di Taman Amansari Rahman Putra, rumah latihan ini begitu menjadi inspirasi kepada OKU yang lain kerana konsepnya yang menekankan aspek pemulihan untuk berdikari.
Rumah latihan ini memerlukan komitmen bulanan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan untuk segala keperluan sewa, makan dan pengoperasian. Sumbangan khusus bagi rumah ini amat kami hargai demi memastikan kelangsungan pengoperasiannya.
RAYUAN SUMBANGAN
Kami begitu mengalu-alukan sumbangan semua pihak dan menerima pelbagai jenis bantuan termasuk barangan dan wang tunai. Segala sumbangan yang boleh dinilai termasuk dalam bentuk barangan dan servis berhak mendapat resit pelepasan cukai di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sumbangan boleh dibuat dengan cara klik pilihan sumbangan yang disediakan di bawah. Setiap set sumbangan bernilai serendah RM5.
TERIMA KASIH
"Ya Tuhan kami, angkatlah segala beban dan kesulitan kami.. sembuhkanlah sakit kami.. berkati dan luaskanlah rezeki kami.. serta lapangkanlah hati-hati kami dengan asbab sedekah yang kami berikan keranaMu ya Allah..
Semoga sedikit pemberian kami ini kekal sebagai amal soleh yang menjadi salah satu modal untuk kami bawa saat berhadapan denganMu yang Maha Pencipta."